DS2...
VISCERAL Games kembali menggegar dunia permainan video dengan menerbitkan Dead Space 2 (DS2). DS2 telah berada di pasaran tempatan pada Januari 2011 dan boleh dimainkan melalui platform Playstation 3, Xbox 360 dan juga PC. Ia adalah sebuah permainan yang amat dinantikan oleh para gamer selepas kejayaan cemerlang siri sebelumnya.
DS2 merupakan permainan video menonjolkan tema survival ngeri yang memanipulasi alam sekitar dan musuh-musuh dalam permainan untuk memberikan pengalaman menyeramkan kepada pemain. Permainan video terbaru ini mungkin boleh dianggap lebih seram daripada siri Resident Evil.
Pembaharuan
Secara dasarnya, DS2 masih mengekalkan pengalaman permainan yang sama daripada siri sebelum ini, tetapi beberapa ciri baru telah ditambah untuk pemain.
Antaranya termasuk kebolehan mengesan Save Station, Store dan Workbench. Sebelum ini pemain hanya mampu menjejak objektif dengan menggunakan cahaya petunjuk daripada sut RIG.
Selain itu, pembaharuan pada senjata termasuk mod tembakan kedua Seeker Rifle turut mengalami perubahan kerana ia akan memuntahkan bom tidak seperti sebelum ini yang menembak ratusan peluru pada semua arah.
Plot cerita
DS2 menyambung cerita francais ini terus daripada episod sebelumnya. Watak utama, Isaac Clarke kini berada di hospital mental kerana dipercayai tidak siuman selepas insiden dalam episod terdahulu.
Isaac dihantui oleh bayangan kekasihnya yang telah mati sering kali mengingatkannya tentang Marker, sebuah artifak yang menjadi punca krisis. Di permulaan cerita DS2, Isaac telah dibebaskan dari penjara, hanya untuk mengetahui bandar dia ditahan itu dipenuhi makhluk sama iaitu Necromorph.
Mekanisme permainan
DS2 adalah permainan genre penembak orang ketiga tetapi tidak seperti Tomb Raider, sudut kameranya adalah tetap pada bahu Isaac.
DS2 juga kurang menggunakan Heads Up Display (HUD), kerana maklumat seperti meter nyawa, senjata dan peluru di paparkan terus daripada sut RIG.
DS2 mungkin merupakan satu-satunya permainan dalam genre ini yang tidak mempunyai gerakan melompat tetapi digantikan dengan hentakan kaki. Kelebihan ini digunakan untuk memijak Necromorph hingga hancur.
RIG
RIG adalah identiti siri Dead Space. RIG adalah sut pertempuran yang digunakan oleh Isaac, sebuah sut yang amat futuristik. Selain dari meter nyawa, ia juga memberi maklumat seperti meter oksigen dan meter stasis.
RIG juga mampu dinaik taraf apabila setiap RIG memiliki kelebihan tersendiri.
Antara RIG yang terdapat dalam permainan adalah sut kejuruteraan, sut keselamatan, sut vintaj dan sut Advance. Lebih menarik, selepas menamatkan permainan, pemain akan diberi ganjaran sut istimewa.
Senjata dan Workbench
Kesemua senjata daripada siri sebelum ini kembali digunakan. Antaranya seperti Plasma Cutter, Line Gun dan Contact Beam. Setiap senjata mampu dinaik taraf dengan menggunakan Power Node dan boleh diubah suai pada Workbench.
Pemain perlu bijak memilih senjata yang perlu dinaik taraf kerana bilangan Power Node dalam permainan sangat terhad. Walaupun Power Node kini boleh dibeli dari Store, harganya sangat mahal.
Berbilang pemain
Pembaharuan yang paling dinanti adalah ciri permainan berbilang pemain. Ia membolehkan pemain bermain secara dalam talian dengan mengawal manusia ataupun Necromorph.
Manusia mempunyai serangan sama seperti Isaac, manakala Necromorph pula menggunakan cara berbeza. Mereka memiliki sub kelas seperti Spitter, Lurker dan Puker.
DS2 secara keseluruhan adalah permainan yang amat memuaskan. Dari segi kualiti grafik, DS2 memiliki grafik yang amat tajam dan cantik, sesuai untuk permainan pada televisyen definisi tinggi penuh (Full HD) dan konsol NextGen.
Kesan bunyi dan lagu latar juga kena dengan setiap mood permainan. Jalan ceritanya yang menarik dan tidak membosankan, walaupun tampak sedikit boleh diduga. Pengalaman seram ketika bermain juga antara yang terbaik, lebih-lebih lagi jika ia dimainkan menggunakan headset.