Street Fighter 4

Penangan permainan pertempuran Street Fighter adalah satu legasi. Ia kini memasuki edisi keempat.






SIRI permainan Street Fighter (SF) merupakan mainan video jenis pertarungan yang telah menjadi perintis kepada banyak mainan video dalam kategori yang sama.
Penerbitnya, Capcom mula menerbitkan SF pada tahun 1987 dan ketika itu SF tidak berapa popular. Namun apabila SF 2 diterbitkan, ia telah mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Hingga kini, SF telah menjadi sinonim kepada generasi 1990-an.
Sejak kejayaan SF 2, banyak siri telah diterbitkan oleh Capcom. Antaranya ialah SF Alpha, SF EX, SF 3 dan siri VS. Dalam siri VS, watak-watak daripada siri SF akan berlawan dengan watak-watak daripada permainan pertempuran terbitan pengeluar lain seperti SNK dan Marvel.
SF 4 telah diterbitkan pada Februari 2009 untuk konsol next-gen. Di Jepun, ia diterbitkan seawal Ogos 2008 tetapi hanya boleh dimainkan di arked.
Karakter
Cerita SF 4 terjadi di antara SF 2 dan SF 3. Justeru, ia dikatakan sambungan SF 2. Semua karakter asal dalam siri SF kembali. Mereka ialah Ryu (Jepun), Ken (AS), Chun Li (China), E.Honda (Jepun), Blanka (Brazil), Zangief (Rusia, di dalam SF 2 Rusia), Guile (AS) Dhalsim (India) Balrog (AS) Vega (Sepanyol), Sagat (Thailand) dan M.Bison (Negara Shadaloo, dalam SF 2 Thailand). Tiga karakter iaitu Balrog, Vega dan M.Bison mempunyai nama lain di Jepun iaitu M.Bison, Balrog dan Vega. Variasi nama di Jepun lebih sinonim dalam kalangan pemain.
Cara Permainan dan Visual
Apa yang dijangkakan daripada mainan video pada masa kini ialah grafik tiga dimensi (3D) yang memukau. Namun SF 4 tampil dengan persembahan yang amat berbeza.


KARAKTER asal dalam siri SF di China dipegang oleh watak Chun Li.




Ia diilhamkan daripada sejenis seni tulisan Jepun yang dinamakan Sumi-e. Pemain akan bertarung di atas pentas dua dimensi (2D), sama dalam siri SF yang lain. Ini kerana penerbit SF 4 mahu mengekalkan keseronokan SF 2 tetapi pada masa yang sama menampilkan elemen-elemen next-gen. Latar belakang setiap tempat pertarungan telah digubah menjadi 3D secara menyeluruh.
Mereka yang pernah bermain SF 2 suatu ketika dulu pasti akan teruja kerana mainan video ini menampilkan pentas pertarungan yang lama dan telah menjadi 3D.
Seperti semua permainan pertempuran yang lain, matlamat pemain adalah untuk menghabiskan meter nyawa pihak musuh pada masa yang ditetapkan, biasanya 99 saat dan pemenang akan ditentukan apabila menang pertarungan sebanyak dua kali.
SF 4 menggunakan kawalan seperti berikut: Tiga jenis tumbukan dan tendangan yang lemah, sederhana dan kuat.
Pemain juga boleh menangkap dan membaling lawan. Daripada gerakan-gerakan asas itu, pemain boleh membuat teknik serangan istimewa dengan menggabungkan kawalan arah dan tumbukan atau tendangan.
Sebagai contoh, satu jenis kawalan yang dikatakan standard adalah bawah dan depan diikuti dengan tumbukan yang dapat menghasilkan serangan istimewa Ryu, Hadouken.


GRAFIK 3D SF kini lebih memukau.




Sebanyak 50 peratus daripada kawalan karakter agak mudah kecuali karakter seperti Zangief yang menggunakan gusti sebagai seni pertahanan dirinya.
Kebiasaannya, pemain-pemain genre ini akan mempraktikkan kombo. Ia merupakan serangan berantai. Dalam satu serangan berantai yang panjang, pemain boleh menghabiskan meter nyawa musuh sehingga dua perempat dalam satu kombo. Biasanya, hanya pemain yang berpengalaman bertarung menggunakan kombo.
Serangan Fokus dan Kombo Ultra
Baru dalam SF 4 dan tiada dalam siri SF lain ialah serangan fokus yang eksklusif untuk SF 4. Serangan fokus mampu menyerap serangan musuh sambil melancarkan serangan balas. Serangan fokus mempunyai banyak cabang. Misalnya, sekiranya serangan ultra pemain ditepis oleh pihak lawan, pemain boleh terus membatalkan serangan ultra tersebut dengan melakukan serangan fokus.
Ketika serangan fokus dibuat, watak pemain akan menukar postur lawannya dan ia diikuti dengan animasi sumi-e. Sekiranya serangan fokus ini kena kepada lawan dengan sepenuh kuasa, lawan akan kaku di lantai sekali gus memberi ruang kepada pemain untuk berundur. Manipulasi teknik fokus yang sempurna hanya boleh dikuasai dengan bermain SF 4 secara kerap.
Kombo ultra pula adalah gerakan super setiap karakter. Untuk melakukan ultra kombo, pemain hanya boleh melakukannya apabila meter ultra menyala. Meter ultra hanya akan diisi apabila pemain dibelasah oleh lawan, atau meter nyawa pemain mula turun. Untuk melakukan kombo ultra dengan kemusnahan yang maksimum, pemain perlu mengisi meter ini sehingga 100 peratus, namun pada ketika ini meter nyawa pemain berada di tahap bahaya.
Permainan Dalam Talian
Untuk pemain mainan video yang memiliki PS3, SF 4 menawarkan keupayaan untuk bermain dalam talian secara percuma. Pemain hanya perlu mendaftar di Playstation Network. Untuk konsol Xbox 360, pemain perlu membayar yuran bagi menyertai Xbox live.
Dalam pertarungan dalam talian, pemain boleh bertarung dengan pemain lain dari seluruh dunia. Sistem ranking digunakan untuk permainan dalam talian. Jika menang, mata akan bertambah dan jika kalah, mata akan ditolak. Mata ini akan digunakan untuk menilai tahap kehebatan pemain.

My Sporting Friends..

Macam2 Ada Di Sini !Klik Jer...