Perang skuad komando


PEMAIN boleh mengubah landskap medan peperangan untuk menambah keseronokan bermain.




PERMAINAN video yang berlandaskan First Person Shooter (FPS) ini berjaya menambat hati pemain sejak sekian lama, walaupun dengan wujudnya saingan kuat dari siri Call of Duty.
Battlefield: Bad Company 2 (BFBC2) merupakan kesinambungan daripada siri sebelumnya iaitu Battlefield: Bad Company. Ia telah dihasilkan EA Digital Illusions Creative Entertainment (EA DICE). Permainan video itu menjanjikan pengalaman memuaskan bagi penggemar FPS yang realistik.
BFBC2 boleh didapati di platform PC, PS3, Xbox360 dan juga iOS.



Plot permainan
Pada awal permainan, pemain dibawa kembali pada bulan Oktober 1944 apabila sekumpulan komando Amerika Syarikat (AS) menjalankan operasi sabotaj ke atas tentera laut Jepun yang dinamakan Operasi Aurora. Serangan itu atas kepercayaan bahawa pihak Jepun mempunya senjata rahsia berskala besar.
Perkara itu dipastikan oleh seorang saintis pembelot Jepun. Bagaimanapun, komando dan saintis tersebut mati apabila kapal selam yang dinaiki mereka ditelan ombak tsunami hasil senjata tersebut.
Pemain kemudiannya dibawa pula ke masa kini, apabila empat askar sedang menjalani sebuah misi untuk mendapatkan senjata berskala besar dan kali ini pemain akan mengambil watak sebagai Preston Marlowe, seorang karakter asal daripada siri sebelum ini, Bad Company.
Pada awalnya, plot kelihatan agak mudah untuk difahami tetapi, menjadi sedikit kompleks apabila terdapat motif politik yang perlu difahami sekali gus menarik minat mereka yang bermain.
Mekanisme permainan
Seperti siri-siri Battlefield sebelum ini, mekanisme permainan BFBC2 tidak terlalu banyak perbezaannya.
Bagaimanapun, apa yang menarik ialah pengeluarnya bijak dalam pembangunan permainan video ini.
Pemain boleh menaiki hampir kesemua jenis kenderaan untuk menempuh medan perang termasuk helikopter, bot, jet ski, jip dan quad cycle. Ia sekali gus membolehkan pemain mengorak langkah dengan lebih strategik dalam peperangan, sama ada untuk mematahkan serangan lawan mahupun menyerang pangkalan pihak lawan.
BFBC2 tidak mempunyai meter nyawa seperti siri-siri sebelum ini malah, boleh menggunakan konsep sama seperti siri Killzone 3. Pemain hanya akan mati apabila menerima tembakan secara berterusan dengan skrin akan menjadi semakin gelap.
Pergerakan crosshair dalam BFBC2 sama seperti sebelumnya dan tidak seberat yang ditawarkan Killzone 2. Ia lebih kurang sama dengan permainan video Counter - Strike dan Call of Duty (COD). Dengan pergerakan yang lancar, ia dapat memudahkan pemain yang sudah biasa dengan pergerakan crosshair dalam siri COD.
Paling menarik, pemain kini mampu mengubah landskap medan peperangan, bangunan kini boleh dihancurkan dengan mortar strike ataupun apa-apa jua senjata letupan sekali gus mengubah pengaliran peperangan dan mampu membawa kemenangan.
Pemain juga harus lebih bijak mengatur strategi kerana setiap benteng konkrit pertahanan tidak akan bertahan lama, jadi haruslah bertukar tempat setiap masa.
Mod multiplayer
Mod multiplayer adalah satu-satunya sebab untuk mendapatkan BFBC2 iaitu pemain maksimum adalah sebanyak 24 orang.
Ia merupakan salah satu sebab mengapa BFBC2 digemari pemain. Pemain akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan komando dan kumpulan penentang. Setiap peta yang ditawarkan adalah sangat besar dan memakan masa jika ingin dijelajah secara mendalam.
Begitupun, pengenalan peta adalah penting bagi pemain mengatur strategi mereka. Pemain perlu mengumpul mata bagi mendapatkan senjata-senjata baru malah, penambah baik untuk senjata seperti scope juga boleh diperoleh mereka.
Dalam mod multiplayer, terdapat beberapa jenis misi yang berlainan, termasuklah Rush, Conquest, Squad Rush dan Squad Deathmatch.
Bagi misi Rush contohnya, pemain akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menyerang dan bertahan. Kumpulan menyerang perlu menanam bom di stesen M-COM dan akan diberi 75 tiket.
Tiket-tiket itu akan berkurangan setiap kali seorang penyerang mati dan pihak menyerang akan kalah jika mereka kehabisan tiket.
Dengan menggunakan teknologi enjin Frostbite 1.5, EA DICE berjaya menyampaikan sebuah permainan peperangan yang mampu merangsang minda pemain untuk mengatur dan melancarkan strategi terhadap pihak musuh dengan efektif.
Disebabkan BFBC2 merupakan permainan multi-platform, bukanlah sesuatu perkara yang pelik mengapa BFBC2 sangat diterima ramai khususnya komuniti gamer.

My Sporting Friends..

Macam2 Ada Di Sini !Klik Jer...