Super Street Fighter 4




SETIAP watak dalam permainan ini boleh melakukan dua serangan mengikut latar belakang skil masing-masing.




PADA awalnya, Super Street Fighter 4 (SSF4) dicanangkan akan menjadi kandungan yang boleh dimuat turun (DLC – Downloadable Content) kepada konsol tetapi akhirnya ia menjadi satu siri yang baru kepada para pemain.
Edisi permainan terbaru ini mempunyai banyak pembaharuan dan saiznya terlalu besar untuk dijadikan DLC.
Bagaimanapun, asas permainan ini masih dikekalkan. SSF4 boleh dimainkan pada konsol Playstation 3, Xbox 360 dan juga arked. Terdahulu, ia boleh dimainkan pada platform PC, tetapi siri terbaru ini mempunyai kelainan tersendiri mungkin disebabkan Capcom sebelum ini banyak dicetak rompak.
Watak tambahan
Selain daripada menampilkan semula kesemua 25 watak daripada siri sebelum ini, SSF4 turut menampilkan 10 watak tambahan yang pasti akan mengujakan gamer.
Dua daripada watak yang pernah digugurkan siri sebelum ini turut ditampilkan semula iaitu T-Hawk dan Dee Jay. Watak-watak tambahan lain yang mewarnai permainan ini ialah Adon, Cody, Guy, Dudley, Ibuki dan Makoto.
SSF4 turut memperkenalkan dua watak baru eksklusif iaitu Juri yang mahir dalam seni mempertahankan diri taekwondo dan bekerja untuk organisasi S.I.N.
Seorang lagi ialah Hakan, penggusti minyak dari Turki. Berbeza berbanding siri sebelum ini, kesemua watak ini dapat dimainkan pada awal permainan. Setiap watak mempunyai misi mereka tersendiri dalam jalan cerita SSF4.

Ultra Combo
Selain daripada watak tambahan, pembaharuan paling ketara dalam SSF4 adalah serangan rantaian ultra ataupun Ultra Combo.
Setiap daripada mereka memiliki dua jenis serangan ultra, tetapi hanya satu boleh digunakan sepanjang perlawanan. Tiada perubahan yang dibawa oleh SSF4 dari keupayaan Super Combo setiap watak.


DALAM mod Challenge, pemain perlu melalui set cabaran yang disediakan.




Mod Challenge
Dalam mod Challenge, pemain boleh menguji kebolehan mereka mengendalikan setiap watak dengan set cabaran telah disediakan. Untuk setiap watak, terdapat 25 set cabaran yang boleh dilengkapkan oleh pemain ini. Cabaran ini akan menjadi lebih sukar dengan setiap kenaikan tahap.
Terdapat juga mod Car Crusher dan juga Barrel Buster yang akan dilalui pemain apabila mencapai tahap bonus ketika permainan arked.
Mod Tambahan Dalam Talian
Kebanyakan mod permainan dalam talian telah dikekalkan daripada siri sebelum ini. Capcom telah menambahkan beberapa mod dalam talian termasuk Team Battle.
Dalam mod ini, pemain akan bertarung secara berkumpulan iaitu pemain-pemain akan berkumpul di lobi dalam talian dan mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Maksimum pemain untuk mod ini adalah seramai 16 orang.
Terdapat juga mod Replay Channel membolehkan pemain menonton pertarungan lain dan juga Endless Battle yang membenarkan pemenang sesuatu pertarungan meneruskan perlawanan.
Seperti biasa, ciri permainan dalam talian boleh dinikmati pemain melalui Xbox Live ataupun Playstation Network.
Sebelum ini ramai pemain berpendapat bahawa Street Fighter 4 setakat ini yang terbaik dan paling hebat mampu dihasilkan oleh Capcom. Ternyata Super Street Fighter 4 telah membuktikan mereka silap apabila Capcom mencipta satu permainan yang sememangnya lebih hebat serta menyeronokkan.

My Sporting Friends..

Macam2 Ada Di Sini !Klik Jer...